Saya terpanggil untuk berkongsi tentang tajuk ini dengan semua untuk di fikirkan secara bersama betapa kehidupan seharian kita sebenarnya tanpa sedar cukup banyak terlibat dengan urusan riba yang secara mutlak hukumnya adalah haram.
Huraian isi Usrah yang disampaikan oleh salah seorang penceramah sebelum waktu Jumaat pada 18 Julai 2008 di Masjid Saidina Uthman,Bandar Tun Razak Cheras begitu menarik perhatian dan masih segar dalam ingatan dengan huraian dan contoh-contoh yang begitu jelas sekali. Pelbagai kemudahan yang berkaitan dengan teknologi masa kini juga tidak terkecuali dari terlibat dengan konsep riba secara tidak langsung tetapi cukup jelas untuk direnungkan bersama seperti urusan pembayaran bil-bil ASTRO yang begitu mudah membuat pemotongan sekiranya terlewat dibuat bayaran kemudian caj penyambungan semula RM 20 yang dikenakan adalah dianggap tidak setimpal dengan kos lantaran konsep yang dipraktikkan hanya sekadar melalui sentuhan butang-butang papan panel komputer semata-mata dan kadar yang sama dicaj secara berterusan selagi kelewatan masih terus berlaku dan begitulah selanjutnya,suatu kadar caj yang sama sekali tidak adil terhadap pengguna jika difikirkan keseimbangan dari segi servis perkhidmatan yang sering terganggu setiap kali hujan.
Begitu juga dengan bil-bil pra bayar telefon bimbit sama ada Maxis,Celcom atau Digi yang seringkali tidak dapat digunakan setiap kali tamat tempoh walaupun jumlah isian masih mempunyai sejumlah baki.Setiap kali membuat isian para pengguna seolah-olah ‘dipaksa’ menghabiskan setiap jumlah baki yang ada mengikut tempoh tertentu meskipun hakikatnya ia masih boleh dijimatkan jika perlu.
Riba juga begitu jelas diamalkan di dalam urusan pinjaman bank-bank perdagangan melalui caj-caj tertentu terutamanya kadar faedah yang tinggi tanpa mengikut piawaian nilai keuntungan semasa. Kadar faedah ini biasanya boleh dilihat melalui pinjaman dalam pembelian kenderaan atau rumah dan sebagainya.Apakah masih ada cara untuk kita sebagai seorang Islam untuk mengelak dari terlibat dengannya ?
Begitu juga dengan penggunaan kad-kad kredit yang semakin mudah dimiliki oleh sebilangan golongan termasuklah kalangan para remaja.Lazimnya penggunaan kad kredit membenarkan pengguna untuk ‘memusing’kan bakinya dengan kos kadar faedah tertentu yang dikenakan.Penggunaan kad kredit ini dikatakan bermula di Barat melalui konsep yang diperkenalkan pada tahun sekitar 1920-an di Amerika Syarikat namun kaedah yang lebih kemas mula dipraktikkan pada 1950-an oleh Ralph Schneider dan Frank X McNamara yang dipelbagaikan penggunaannya.
Amalan Riba seperti ini belum lagi dikira dengan kemunculan Peminjam-peminjam Berlesen yang mengenakan kadar faedah tersendiri tanpa mengikut ketetapan kadar semasa seperti yang ditetapkan oleh pihak kerajaan atau bank-bank yang bertauliah.Peminjam-peminjam ini atau lebih mudah dikenali sebagai “along” begitu banyak mengendalikan urusan pinjaman seperti ini di merata tempat dan syarat yang diberikan adalah cukup mudah berbanding institusi kewangan yang lain.Golongan ini secara majoritinya dimonopoli oleh kaum China yang secara jelas bukan menepati kaedah kewangan Islam.
Surah al-Baqarah ayat 278 telah mengingatkan kepada kita dengan maksud:”Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika benar kamu orang yang beriman.”
Sesungguhnya Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,maka sesiapa yang telah sampai peringatan dari Allah SWT tentang perkara tersebut adalah wajar baginya berhenti dari mendekatinya atau menggunakannya dengan apa cara atau sumber sekalipun,apa yang telah terjadi sebelumnya adalah terpulang kepada ketentuan-Nya sebaliknya jika diteruskan selepas mengetahui akibat atau implikasi,maka kemurkaan Allah SWT amatlah berat.
Renung-renung dan fikir-fikirkanlah!